Ucapan Kata Aluan Pengarah
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Selamat datang ke laman sesawang rasmi Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq
(ZAWAIN) Universiti Sains Malaysia (USM).
Laman ini merupakan sumber rasmi yang menghimpunkan maklumat dan info berkaitan pengurusan dan pentadbiran zakat, wakaf dan infaq yang diselaraskan oleh pihak ZAWAIN USM. Sejak ditubuhkan semula pada tahun 2025, ZAWAIN komited memastikan pengurusan dan pentadbiran zakat, wakaf dan infaq dilaksanakan secara telus, sistematik dan berimpak tinggi demi manfaat warga USM khususnya para pelajarnya.
ZAWAIN USM memainkan peranan penting dan strategik dalam mengukuhkan kedudukan USM sebagai universiti terbaik dunia dalam tiga matlamat (SDG 1, 16, dan 17) dan menduduki tangga ke-14 global keseluruhan dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025 dan memperkasakan statusnya sebagai pemimpin kelestarian global. Dalam hal ini, ZAWAIN USM memberikan penekanan kepada usaha kemampanan kelestarian kewangan pelajar, penyediaan pendidikan berkualiti dan pengurangan jurang ketidaksamaan dalam kalangan pelajar.
Bagi melaksanakan hasrat USM yang begitu prihatin terhadap kebajikan pelajar, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40), ZAWAIN telah menggerakan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar, termasuk inisiatif dermasiswa, bantuan sara hidup, bantuan penginapan desasiswa dan yuran pengajian serta penyediaan keperluan asas pembelajaran seperti peranti digital dan sokongan akademik. Matlamat kami adalah memastikan setiap pelajar berpeluang untuk berjaya tanpa menjadi menjadi kekangan kewangan sebagai alasan atau halangan untuk berjaya dengan cemerlang di USM.
Mulai 2026, ZAWAIN USM memperkasakan pengurusan data melalui pembangunan sistem bersepadu serta visualisasi data menerusi Dashboard ZAWAIN USM yang komprehensif dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan zakat, waqaf dan infaq. Pendekatan ini menyokong amalan data-driven governance, membolehkan agihan zakat dilaksanakan secara lebih efektif, sistematik dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Di samping itu, kerangka pemantauan berasaskan Key Performance Indicators (KPI) dan pendekatan outcome-based turut dilaksanakan bagi memastikan setiap sumbangan yang diterima memberikan impak yang nyata.
Dalam memperluas jangkauan dan keberkesanan inisiatif, ZAWAIN USM mengalu-alukan kerjasama strategik bersama sektor korporat, institusi perbankan, alumni serta masyarakat umum. Pada masa yang sama, ZAWAIN terus memperkasakan hubungan erat dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Zakat MAINPP, Wakaf MAINPP, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Kami yakin kolaborasi ini mampu menggalakkan penyertaan staf USM untuk membuat potongan zakat pendapatan secara bulanan serta meningkatkan sumbangan wakaf dan infaq kepada pihak USM.
Bagi memudahkan urusan sumbangan, sistem eZAWAIN USM disediakan sebagai platform digital yang efisien, telus dan mesra pengguna, sejajar dengan pendekatan digital philanthropy yang inklusif dan mampan.
Kami juga yakin bahawa rantaian ekosistem pendidikan pengajian tinggi yang ditunjangi oleh sumber pendanaan Islam seperti zakat, wakaf dan infaq mampu menyokong agenda nasional dalam melahirkan ahli profesional, ilmuwan dan sarjana Islam yang ulung pada masa hadapan.
Akhir kata, kami mengalu-alukan sokongan dan penglibatan semua pihak dalam memperkukuhkan peranan dan usaha ZAWAIN USM. Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Sekian.
PROFESOR MADYA DR. ANWAR ALLAH PITCHAY