Skip to main content

Pejabat Zakat, Waqaf & Infaq   |  Kampus Induk

ZAKAT WAKAF DAN INFAQ DI IPT: DARI BANTUAN MATERIAL KE PENYUCIAN HATI

IPT sebagai Ekosistem Ibadah dan Ihsan

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada hari ini memikul peranan yang semakin strategik, bukan sahaja sebagai pusat pengembangan ilmu tetapi sebagai ekosistem pembinaan insan yang membentuk keperibadian, akhlak dan kesejahteraan pelajar secara holistik. Menelusuri di tengah tekanan kos sara hidup, tuntutan akademik yang mencabar dan ketidaksamaan akses pendidikan, instrumen ibadah kewangan seperti zakat, wakaf dan infaq muncul sebagai mekanisme penting untuk menjamin kebajikan pelajar dan kelangsungan proses pembelajaran yang sejahtera. Namun, peranan zakat, wakaf dan infaq melampaui bantuan kewangan; ia merupakan wahana pembinaan spiritual dan akhlak yang apabila diurus dengan nilai ihsan, integriti dan kesedaran maqasid, mampu membentuk qalbu salim seperti yang digariskan al-Quran iaitu hati yang bersih, tenteram dan dipandu oleh ketakwaan.

Pendekatan ini menyumbang secara langsung kepada pembinaan Masyarakat Madani, iaitu masyarakat yang menjunjung martabat insan, mengutamakan kesalingan dan menghidupkan prinsip belas ihsan dalam hubungan sosial. IPT yang menyuburkan ekosistem zakat, wakaf dan infaq dalam skala lebih besar, sebenarnya sedang menyemai asas Negara Madani, yakni negara yang menyeimbangkan kemajuan material dengan pembinaan moral, spiritual dan tanggungjawab sosial. Oleh yang demikian, zakat, wakaf dan infaq bukan sekadar instrumen ekonomi pendidikan, tetapi merupakan teras pembentukan insan dan peradaban yang akhirnya melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berjiwa ihsan yakni generasi yang mampu memimpin masyarakat dan Negara ke arah masa depan yang lebih beradab dan sejahtera.

Perbincangan mengenai zakat, wakaf dan infaq dalam dunia akademia moden, sering tertumpu kepada aspek pengumpulan dana dan agihan bantuan material. Hakikatnya, dalam tradisi Islam, ibadah kewangan bukan sekadar perpindahan sumber, tetapi proses tazkiyah iaitu pembersihan hati untuk pemberi, penerima dan institusi yang mentadbirnya. Justeru, IPT yang berjaya mengurus Zakat, Wakaf dan Infaq secara berintegriti sedang sebenarnya menggabungkan dua dimensi besar iaitu pengupayaan sosial dan penyucian spiritual.

Ekonomi Ibadah dalam Pendidikan Tinggi

Institusi ilmu dalam sejarah Tamadun Islam iainya dibina atas asas wakaf dan infak. Universiti al-Azhar, madrasah Nizamiyyah, perpustakaan Andalusia, hospital dan rumah musafir, semuanya berkembang melalui budaya memberi. Tradisi ini bukan sahaja menjamin kelangsungan institusi, malah memupuk nilai kebersamaan dan ihsan dalam kalangan masyarakat. IPT pada era moden dapat menghidupkan kembali semangat tersebut dengan mengurus dana zakat, wakaf dan infaq sebagai “ekonomi ibadah” di mana iainya merupakan satu ekosistem yang menyatukan keperluan material pelajar dengan pembinaan rohani yang mendalam. Hal ini selaras dengan maqasid al-syariah yang mengangkat kemaslahatan dalam aspek memelihara agama, akal, nyawa, harta dan martabat insan. Zakat membantu pelajar asnaf meneruskan pengajian; wakaf menyediakan asas kekal seperti biasiswa, perpustakaan, surau dan kemudahan kampus; manakala infaq memupuk budaya penyertaan seluruh warga universiti dalam kerja-kerja kebajikan secara konsisten.

Zakat: Dari Kewajipan kepada Tazkiyah

Melihat dalam konteks pelajar, zakat sering diagihkan untuk menampung yuran pengajian, penginapan, makanan, peranti dan kecemasan. Data beberapa universiti menunjukkan bahawa tekanan kewangan merupakan antara faktor utama masalah keciciran, kemurungan dan prestasi akademik merosot.

Namun, zakat mempunyai dimensi yang lebih halus. Ia berfungsi sebagai proses Tazkiyah al-Mal (pembersihan harta) bagi pemberi dan Tazkiyah al-Nafs (pembersihan jiwa) bagi penerima. Penerima yang dibantu dengan penuh maruah—tanpa stigma, tanpa pendedahan aib—akan merasai kelegaan dan syukur, seterusnya membina keyakinan diri, motivasi akademik dan hubungan spiritual dengan Allah SWT.

Zakat yang diurus secara profesional bukan sahaja memastikan bantuan sampai kepada pelajar yang benar-benar memerlukan tetapi turut memberi kesan mendalam kepada kesejahteraan diri mereka. Pengurusan yang teratur membantu mengurangkan tekanan hidup, terutama berkaitan keperluan asas seperti makan, tempat tinggal, peranti dan yuran pengajian, sekali gus membebaskan mereka daripada kebimbangan harian yang boleh menjejaskan tumpuan belajar. Apabila beban kewangan diringankan, pelajar dapat meningkatkan fokus dan disiplin akademik kerana fikiran mereka tidak lagi terganggu oleh kegelisahan tentang kelangsungan hidup. Pada masa yang sama, pengalaman menerima bantuan dengan penuh maruah dan ihsan akan menyuburkan rasa syukur, lalu melahirkan empati terhadap orang lain dan dorongan untuk membantu apabila berkemampuan kelak.

Secara tidak langsung, suasana ini memupuk identiti sebagai penuntut ilmu yang beradab, iaitu pelajar yang memahami nilai amanah, berbudi bahasa, menghormati guru dan rakan serta melihat ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Justeru, zakat bukan sahaja menyokong keperluan material tetapi turut membina akhlak dan kekuatan spiritual pelajar. Kesannya bukan hanya akademik, tetapi rohani dan emosi.

Wakaf: Kelestarian Manfaat dan Penyuburan Insan

Wakaf merupakan nadi kelestarian dalam pembangunan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerana ia menyediakan sumber manfaat yang berterusan dan tidak bergantung kepada dana jangka pendek. Melalui pelbagai bentuk wakaf seperti wakaf tunai, wakaf peranti, wakaf makanan, wakaf buku, wakaf kemudahan kampus serta wakaf produktif seperti panel solar dan lot komersial, IPT berupaya menjana pulangan yang stabil dan mapan untuk menyokong agenda pendidikan. Lebih daripada itu, ekosistem wakaf yang berfungsi dengan baik menyumbang kepada pembinaan Masyarakat Madani kerana ianya memupuk tanggungjawab sosial, semangat berkongsi manfaat dan nilai kesalingan (mutuality) dalam kalangan Warga Kampus.

Selain itu, pada skala lebih luas, amalan wakaf yang bersifat inklusif, telus dan berorientasikan ihsan turut mengukuhkan asas Negara Madani, iaitu negara yang menyeimbangkan kemajuan material dengan pembinaan moral dan spiritual. Oleh yang demikian, wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi tetapi sebuah mekanisme peradaban yang membentuk budaya penyertaan, memelihara martabat insan dan menyuburkan nilai ihsan dalam masyarakat. Falsafah wakaf ialah keabadian manfaat (Sadaqah Jariyah). Seseorang yang berwakaf, walaupun sedikit sebenarnya sedang mewakafkan doa agar manfaatnya mengalir tanpa putus kepada generasi pelajar yang tidak pernah dikenalinya. Inilah sifat roh wakaf iaitu masa depan dibina oleh jiwa yang rela memberi.

Manakala pada peringkat pelajar dan kampus, wakaf berperanan membina kemudahan pendidikan yang berkekalan, menyediakan sumber stabil untuk biasiswa serta mengurangkan kebergantungan IPT terhadap dana yuran atau peruntukan Kerajaan. Amalan ini turut memupuk budaya berjiwa besar dalam kalangan alumni dan warga kampus kerana pendidikan dilihat sebagai tanggungjawab bersama. Kemunculan model wakaf produktif di beberapa IPT Malaysia membuktikan bahawa kelestarian pendidikan adalah realistik melalui penyertaan masyarakat, bukan semata-mata melalui dana institusi. Pendekatan ini akhirnya menyumbang kepada pembinaan Masyarakat Madani yang berteraskan ihsan dan solidariti di samping mengukuhkan asas Negara Madani yang menyeimbangkan pembangunan material dengan pembinaan moral dan kesejahteraan sosial.

Infaq: Budaya Memberi yang Menyucikan Jiwa

Walaupun nilai infaq yang disumbangkan kelihatan kecil, impaknya menjadi sangat signifikan apabila amalan itu dibudayakan secara menyeluruh dalam komuniti kampus. Sumbangan harian antara RM1 hingga RM5 oleh pelajar, staf dan alumni, apabila dilakukan secara konsisten iainya mampu membiayai pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan kesejahteraan mahasiswa secara berterusan.

Hakikatnya, infaq bukan sekadar transaksi memberi, tetapi proses pembinaan karakter. Ia membentuk disiplin memberi, walaupun seseorang sedang berhadapan dengan keterbatasan. Melalui infaq, warga kampus dipupuk untuk lebih peka terhadap keperluan rakan-rakan, sekaligus mengukuhkan rasa kebersamaan dan empati sosial. Amalan ini turut mencipta ikatan hati dalam komuniti pelajar kerana kebaikan yang dilakukan secara kolektif melahirkan suasana saling mempercayai dan saling menyokong. Selain itu, dalam dimensi spiritual, infaq memberikan pengalaman kerohanian yang mendalam, ianya mengajar sifat tawaduk, menyuburkan sifat syukur dan menjernihkan jiwa daripada sifat berbangga diri.

Secara lebih luas, infaq melatih seseorang untuk mengutamakan kepentingan orang lain, sekali gus mengikis sifat individualistik yang sering mencorakkan masyarakat moden. Nilai-nilai ini merupakan asas penting dalam pembentukan komuniti berakhlak, berdaya tahan dan berorientasikan kebaikan. Justeru, infaq bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian program kebajikan tetapi turut memainkan peranan utama dalam membentuk modal insan yang beretika dan matang dari sudut spiritual dan sosial.

Penutup

Zakat, wakaf dan infaq wajar dilihat melampaui fungsi sebagai instrumen kewangan; ketiga-tiganya merupakan mekanisme pembinaan insan yang membentuk akhlak, nilai dan spiritualiti warga kampus. Apabila IPT menilai keberkesanan zakat, wakaf dan infaq bukan sekadar melalui jumlah dana yang dikutip atau bilangan penerima yang dibantu tetapi dengan mengukur pertumbuhan akhlak, kekuatan rohani, empati sosial dan kualiti hati pelajar serta warganya, maka universiti tersebut sebenarnya sedang bergerak ke arah fasa baharu pembangunan Pendidikan iaitu satu fasa yang boleh disebut sebagai Kampus Barakah.

Zakat, wakaf dan infaq dalam kerangka ini berfungsi sebagai pemangkin kepada lahirnya persekitaran akademik yang seimbang antara kecemerlangan ilmu dan kesempurnaan budi. Ekosistem kampus yang memupuk sifat memberi, empati, ihsan dan rasa tanggungjawab sosial membuka ruang bagi penghasilan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi matang emosinya, stabil spiritualnya dan luhur adabnya. Inilah asas kepada pembinaan Masyarakat Madani, iaitu masyarakat yang bertunjangkan integriti moral, keterangkuman sosial serta penghargaan terhadap martabat manusia. Budaya zakat, wakaf dan infaq yang teratur, telus dan menyuburkan jiwa adalah antara elemen terpenting dalam menghidupkan prinsip-prinsip ini.

Lebih jauh, apabila budaya ihsan yang dipupuk melalui zakat, wakaf dan infaq berkembang dalam komuniti Institusi Pengajian Tinggi, ia akan mengalir keluar ke dalam masyarakat yang lebih luas, sekaligus menyumbang kepada terbinanya Negara Madani—negara yang mengangkat nilai belas ihsan, keadilan sosial, tanggungjawab kolektif dan pembinaan insan secara menyeluruh. Graduan yang melalui ekosistem kampus barakah ini akan membawa bersama nilai integriti, amanah, empati dan kepedulian sosial ke dalam sektor profesional, pentadbiran, kepimpinan dan komuniti.

Justeru, di sinilah terbentuk Generasi Ulul Albab yang menjadi tonggak penting bagi sebuah Negara Madani iaitu generasi yang bukan sahaja cerdas akalnya, tetapi juga lembut hatinya, tinggi akhlaknya dan besar sumbangannya kepada masyarakat. Nilai ihsan yang dipupuk melalui amalan ilmu, ibadah dan budaya memberi menjadikan mereka insan yang memiliki kebijaksanaan intelektual yang seimbang dengan ketulenan jiwa, kesedaran moral dan kehalusan adab. Ilmu yang dipelajari tidak lagi dilihat sebagai alat mencapai kepentingan diri tetapi sebagai jalan penyucian hati serta sumber kebaikan yang mengangkat martabat diri, masyarakat dan Negara.

Disediakan oleh:

Dr. Muhammad Latiffi Mahadzir

* Penulis merupakan Pegawai Pejabat Zakat, Wakaf, Infaq (ZAWAIN) USM dan Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM