• Tentang Kami
  • Sebutir Kurma daripada Pengarah Pejabat ZAWAIN

Sebutir Kurma daripada Pengarah Pejabat ZAWAIN

Pertama sekali, saya ingin merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izin dan inayahNya, saya berpeluang menukilkan sepatah dua kata sempena pelancaran sesawang rasmi Pejabat Zakat, Waqaf & Infaq Universiti Sains Malaysia (ZAWAIN).

Sejarah telah membuktikan bahawa amalan zakat, waqaf dan infaq adalah tunjang dan teras kepada peradaban dan tamadun ilmu yang dicapai oleh umat Islam suatu ketika dahulu. Malah, tidak ada satupun pencapaian dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang tidak pernah disirami oleh kemuliaan waqaf dan infaq. Malah, nikmat iman dan cahaya Islam yang kita nikmati pada hari ini adalah sinar yang terbit daripada jasa dan kemuliaan individu yang telah menginfaqkan seluruh harta dan nyawa mereka untuk memartabatkan agama yang mulia ini. Malah, hampir semua bangunan masjid dan tanah perkuburan berdiri dan dibina di atas tanah yang diwaqafkan oleh generasi yang telah pergi meninggalkan dunia dengan penuh kemuliaan.

Semoga kewujudan sesawang rasmi Pejabat ZAWAIN dapat dimanfaatkan oleh warga Universiti, ALUMNI USM dan masyarakat sekitar untuk menyuburkan amalan waqaf dan infaq, khususnya dalam konteks memacu pengembangan ilmu dan penyelidikan di menara ilmu ini. Saya menjemput semua warga Universiti, ALUMNI USM dan masyarakat untuk sama-sama menyokong visi dan misi USM dengan menyumbang sedikit daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt. Sumbangan anda walaupun sedikit jumlahnya tetapi amat besar pahalanya pada sisi Allah swt. Kami komited dan iltizam bahawa setiap sen dan RM yang disumbangkan akan dimanfaatkan untuk menyantuni kebajikan anak-anak pelajar dan membiayai pelbagai program pembangunan ilmu dan penyelidikan untuk kesejahteraan umat sejagat.

Sebagai khatimah, sebutir kurma mempunyai falsafah dan makna yang sangat mendalam untuk kita hayati sebagai hamba yang mencari kebahagiaan dalam kehidupan yang abadi. Buah kurma yang dipopular sebagai juadah berbuka puasa memiliki signifikan yang kuat untuk dijiwai oleh mereka yang ingin menyempurnakan keimanannya kepada Allah swt. Buah kurma adalah lambang kemurahan hati, keberkatan dan qana‘ah yang menghiasi kehidupan mukmin yang mengimpikan kebahagian di negeri akhirat yang abadi.  

HAJAH ROHAYATI DAUD


Copyright © 2019. 
All Rights Reserved. 
Universiti Sains Malaysia
 admin


Copyright © 2019. 
All Rights Reserved. 
Universiti Sains Malaysia
 admin