• Tentang Kami
  • Setaman Syurga daripada Naib Canselor USM

Setaman Syurga daripada Naib Canselor USM

PERUTUSAN DARIPADA NAIB CANSELOR

Pertama sekali saya ingin melafazkan rasa syukur kepada Allah S.W.T. dengan taufiq dan ‘inayahNya, saya berpeluang untuk berbicara tentang kemuliaan amalan zakat, waqaf dan infaq serta kepentingannya dalam konteks pembangunan ilmu dan penyelidikan di Universiti Sains Malaysia. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM (ZAWAIN) atas inisiatif membina Laman Rasmi Pejabat ZAWAIN sebagai platform informasi dan saluran berkenaan pengurusan dan kepentingan zakat, waqaf dan infaq kepada Universiti Sains Malaysia.

Universiti Sains Malaysia menaruh harapan tinggi terhadap ZAWAIN agar dapat membantu Universiti untuk bersama-sama menjana sumber kewangan Islam secara baru dan bertenaga, melalui pelbagai perkhidmatan dan pengurusan sempurna zakat, waqaf dan infaq. ZAWAIN hendaklah melonjakkan pembangunan program berkaitan zakat, waqaf dan infaq yang pastinya akan mengimarahkan lagi susasana pembangunan zakat, waqaf dan infaq di Universiti Sains Malaysia, seterusnya memberi impak positif yang berpanjangan terutamanya kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 USM, saya menyeru seluruh warga Universiti, ALUMNI USM dan seluruh rakyat Malaysia agar berganding bahu menjayakan visi dan misi USM untuk menunaikan ibadah zakat, dan menyalurkan sumbangan waqaf dan infaq mengikut kemampuan masing-masing. Hakikatnya, generasi awal Islam telah menginfaqkan seluruh hayat dan kekayaan untuk menjayakan setiap kebajikan dan makruf walaupun dengan seteguk air. Mereka adalah golongan yang terbaik mempraktikkan budaya waqaf, zakat dan infaq yang menjadi teras kepada kejayaan dakwah dan falsafah iqra’ yang melahirkan tamadun ilmu dan peradaban Islam yang unggul.

Pihak Universiti sangat berharap perancangan ZAWAIN akan berjalan mengikut yang telah direncanakan di samping ZAWAIN hendaklah menerima sebarang cadangan dan/atau kaedah baru atau aktiviti yang perlu dilaksanakan oleh ZAWAIN di dalam melaksanakan zakat, waqaf dan infaq di Universiti Sains Malaysia.

Sekian, terima kasih.

PROFESOR DATUK DR. ASMA ISMAIL, FASc

Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia


Copyright © 2019. 
All Rights Reserved. 
Universiti Sains Malaysia
 admin


Copyright © 2019. 
All Rights Reserved. 
Universiti Sains Malaysia
 admin